BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, June 13, 2009

KAJIAN KES JUVANA REMAJA

Kajian setahun pada 2006 - 2007 dilakukan oleh Pensyarah Fakulti Pendidikan UM Profesor Madya Dr Tie Fatt Hee, membabitkan 740 responden di kira-kira 12 sekolah di Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

"Kajian awal ini cuma membabitkan pelajar berusia 16 tahun yang disifatkan tahap usia penting sebelum memasuki Tingkatan Lima dan seterusnya menyertai masyarakat. Apa yang boleh dirumuskan, jenayah di sekolah tetap berlaku sama ada di kawasan bandar mahu pun luar bandar".

Dr Tie menyatakan bahawa perkembangan ini amat membimbangkan biarpun hakikatnya jenayah di sekolah ini masih dianggap terkawal jika dibandingkan dengan bilangan murid di seluruh negara.

Lebih membimbangkan, katanya, 46 peratus responden itu mengakui pembelajaran mereka terganggu akibat ancaman jenayah di sekolah yang sekali gus boleh menjejaskan pencapaian akademik mereka.

"Kita perlu ingat, masalah disiplin di sekolah ini bukanlah sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba sebaliknya ia membabitkan proses yang berpanjangan. Seperti juga penyakit, ia mempunyai simptom atau petanda awal tertentu yang perlu ditangani seberapa segera.

"Jika ia dibiarkan melarat, tanpa sebarang tindakan oleh pihak sekolah, jenayah ini boleh melarat melangkaui kawasan sekolah."

Dr Tie yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan dan undang-undang, berkata apa yang menyedihkan, majoriti pelajar yang ditemui menerusi kajian itu, mengakui menjadikan kawan atau rakan sebagai rujukan utama dalam sistem sokongan mereka.

"Di mana peranan ibu bapa dan guru-guru yang sepatutnya di hierarki atas sistem sokongan itu dan menjadi tempat utama pelajar mengadu masalah mereka? Ini jelas menjadi satu kepincangan kerana kita perlu sedari, ada bahayanya apabila pelajar menjadikan rakan sebagai pakar rujuk mereka, terutama jika rakan itu juga bermasalah."

Sehubungan itu, beliau menegaskan, sudah tiba masanya semua pihak - ibu bapa, sekolah dan masyarakat menggembleng tenaga bagi mengatasi masalah jenayah di kalangan pelajar ini.

"Guru yang menyedari pelajar bermasalah perlu segera memaklumkan kepada pihak sekolah bagi tindakan susulan termasuk memanggil ibu bapa dan pihak polis. Ibu bapa pula harus bersikap prihatin apabila dipanggil dan bukannya menuding jari ke arah pihak sekolah.

"Selain itu, kita juga harus menerapkan kepentingan kaedah pendidikan berkaitan undang-undang yang mana pelajar didedahkan dengan jenayah dan jenis hukuman serta hak mereka," katanya.


INFO: MASALAH JUVANA

  • 5.4 juta pelajar di seluruh negara
  • Indeks pembabitan pelajar dalam jenayah 0.03 peratus berbanding jumlah keseluruhan
  • Usia pelajar bermasalah 13 - 18 tahun
  • Statistik polis: 2007 - 1,837 kes jenayah dan 3,383 pelajar ditahan; 2008 - Meningkat kepada 2,218 kes dan 3,725 pelajar ditahan.
  • Kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia dengan kerjasama Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Malaysia, 48.1 peratus mat rempit berpunca akibat kebosanan, 38 peratus bertujuan mengisi masa lapang dan 27.8 peratus dipengaruhi kawan.
  • Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia - Seramai 295 pelajar terbabit dalam pelbagai jenayah sepanjang tempoh dua bulan pertama tahun ini.
  • Kajian Universiti Malaya - masalah disiplin utama di sekolah adalah kecurian, buli, pergaduhan dan gangsterisme.
Sumber:
Nurul Adlina Kamaludin dan Hafizah Iszahanid. Aib Juvana Remaja. http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Bmdua/20090412074035/Article/


0 comments: