BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, June 25, 2009

AMALAN DI BULAN REJAB: ANTARA SUNNAH DAN BIDAAH



Assalamualaikum wbt Ustaz,

Di bulan Rejab yang mulia ini, telah menjadi amalan kebanyakan umat Islam menghidupkan bulan ini dengan pelbagai amalan. Antara amalan yang dilakukan oleh umat Islam dalam bulan Rejab ini ialah menghidupkan malam Israk Mikraj, solat Raghaib dan berpuasa penuh di bulan Rejab atau sebahagiannya dengan menganggap ianya mempunyai kelebihan dan fadhilat yang khusus. Persoalannya, adakah amalan-amalan tersebut bertepatan dengan syariat dan sunnah Rasulullah saw?

-pelajar UTM, Skudai-

Waalaikum salam wbt dan terima kasih kepada saudari yang bertanya. Sebelum saya menjawab persolan saudari, mari kita lihat pengertian Rejab itu. Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan dan ia membawa maksud bulan yang dibesarkan atau dimuliakan. Masyarakat Jahiliyah menamakan bulan ini dengan bulan Rejab kerana mereka memulia dan menghormati bulan ini dengan mengharamkan berperang di dalamnya. Dan Rasulullah SAW mengekalkan nama ini dan mengharamkan pertumpahan darah di bulan Rejab. Dan bagi umat Islam, kita memperingati dan memuliakan Rejab sempena dengan peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah SAW iaitu peristiwa Isra' dan Mi'raj.

PERISTIWA PENTING DI BULAN REJAB

1) Hijrah Pertama Hijrah ke Habsyah (Ethiopia)
Pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.

Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Diantara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman RA dan isterinya Roqiah anak Rasulullah SAW. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.

2) Isra' dan Mi'raj
Isra'dan Mi'raj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmuqaddis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT. Dalam menentukan tarikh bila berlakunya peristiwa ini, sebahagian ulama mengatakan pada 27 RabiulAkhir; sebahagian ulama mengatakan pada 17 RabiulAwal; sebahagian ulama mengatakan 29 Ramadhan; sebahagian ulama mengatakan pada 27 Rejab dan sebahagian ulama yang lain mengatakan pada tanggal-tanggal selain dari yang tersebut.

3) Perang Tabuk
Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah SAW dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi berbagai kesukaran.

4) Pembebasan Baitul Muqaddis
Baitul Muqaddis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan uamat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, umat Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Muqaddis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitul Muqaddis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salehuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitul Muqaddis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.


5) Lahirnya Imam Syafie
Nama sebenar Imam Syafie RH ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Feqah. Malaysia mengamalkan mazhab Syafie. Diantara peninggalan imam Syafie RH yang tiada ternilai harganya dan menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab al-Umm.

AMALAN DI BULAN REJAB

Tiada amalan khusus untuk bulan Rejab yang diriwayatkan dari Rasulullah SAW yang dijumpai di dalam mana-mana hadis shahih. Ini untuk mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang diada-adakan (bid'ah) dan perbuatan membeza-bezakan kemuliaan satu-satu bulan. Namun begitu ada pendapat yang meriwayatkan tentang amalan-amalan sunat tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah Rejab. Pendapat ini adalah bersandar kepada hadis-hadis lemah.

Terlalu banyak amalan-amalan sunat yang umum yang masih kita belum berkesempatan untuk mengamalkannya boleh kita praktikkan di bulan Rejab ini sebagai persediaan kita menjelang Ramadhan al-Mubarak. Diantaranya solat malam, Qiyamullail, puasa Isnin dan Khamis, tadarrus al-Qur'an dan lain-lain lagi.

Semoga Allah swt mengampunkan kesalahan yang dilakukan di atas kejahilan kita. Marilah kita bersama-sama untuk membanteras kegiatan penyebaran hadith-hadith palsu di kalangan umat Islam. Pastikan ibadah yang kita lakukan benar-benar menepati sunnah Rasulullah saw dan diiringi dengan keikhlasan kepada Allah swt.

Monday, June 15, 2009

99 ASMAUL HUSNA

Salah satu cara yang dapat digunakan bagi mempercepatkan proses menghafal asmaul husna adalah melalui nyanyian dan muzik.
Menurut Imam Ghazali, muzik memiliki pengaruh yang mampu membangkitkan rasa rindu pada tuhan.
Dalam muzik, seseorang dapat mengungkapkan rasa cintanya sehingga terjadi hubungan antara pemuzik dengan tuhan.
Irama muzik mampu menimbulkan rasa rindu, sayang dan sedih
(99Q Kecerdasan Berasaskan Asmaul Husna).

Dengan nama Allah kami mula membaca,
Segala rahmat bagi tuhan kami,
Rahmat dan keselamatan,
Bagi nabi kekasih kami.

Ya Allah tuhan kami,
Engkau tujuan kami,
Redamu yang kami cari,
Di dunia dan akhirat kami.
Wahai yang maha pengasih, yang maha penyayang,
Wahai yang maha berkuasa, yang maha suci,
Wahai yang maha sejahtera, yang maha terpercaya,
Wahai yang maha memelihara, yang maha perkasa.

Wahai yang kehendaknya tidak diingkari,yang memiliki kebesaran,
Wahai yang maha mencipta, yang mengadakan dari yang tiada,
Wahai yang membuat bentuk, yang maha pengampun,
Wahai yang maha perkasa, yang maha pemberi.

Wahai yang maha pemberi, yang maha pembuka,
Wahai yang maha mengetahui, yang maha menyempitkan,
Wahai yang maha melapangkan, yang merendahkan,
Wahai yang maha meninggikan, yang memuliakan.

Wahai yang menghinakan, yang maha mendengar,
Wahai yang maha melihat, yang memutuskan hukuman,
Wahai yang maha adil, yang maha lembut,
Wahai yang maha mengetahui, yang maha penyantun.

Wahai yang maah agung, yang maha pengampun,
Wahai yang maha menerima syukur, yang maha tinggi,
Wahai yang maha besar, yang maha memelihara,
Wahai yang maha memelihara, yang maha mencukupkan.

Wahai yang maha luhur, yang maha mulia,
Wahai yang maha mengawasi, yang maha memperkenankan,
Wahai yang maha luas, yang maha bijaksana,
Wahai yang maha mencintai, yang maha mulia.

Wahai yang membangkitkan, yang maha menyaksikan,
Wahai yang maha benar, yang maha mewakili,
Wahai yang maha kuat, yang maha kukuh,
Wahai yang maha melindungi, yang maha terpuji.

Wahai yang maha menghitung, yang maha memulakan,
Wahai yang maha mengembalikan, yang maha menghidupkan,
Wahai yang maha mematikan, yang maha hidup,
Wahai yang maha berdiri sendiri, yang maha menemukan.

Wahai yang maha mulia, yang maha tunggal,
Wahai yang maha esa, yang maha diperlukan,
Wahai yang maha kuasa, yang sangat berkuasa,
Wahai yang mendahulukan, yang mengakhirkan.

Wahai yang pertama, yang terakhir,
Wahai yang maha nyata, yang maha tersembunyi,
Wahai yang maha memerintah, yang maha tinggi,
Wahai yang maha dermawan, yang maha menerima taubat.

Wahai yang maha mengamcam, yang maha pemaaf,
Wahai yang maha melimpahkan kasih, yang maha menguasai,
Raja yang maha berdaulat, pemilik keluhuran dan kemuliaan.

Wahai yang maha adil, yang maha menghimpun,
Wahai yang maha kaya, yang memberi kekayaan,
Wahai yang maha mencegah, yang memberi derita,
Wahai yang memberi manfaat, yang maha memberi cahaya.

Wahai yang maha pemberi petunjuk, pencipta pertama,
Wahai yang maha kekal, yang maha mewarisi,
Wahai yang maha tepat tindakannya, yang maha penyabar,
Yang memulakan, yang maha agung, itulah sebutannya.


Saturday, June 13, 2009

KELUARGA BAHAGIA

Salam ikhlas penyeri ukhuwwah khusus buat adik-adik remaja di luar sana. Marilah sama-sama kita mengingati segala pengorbanan, kasih sayang dan keprihatinan ibu bapa kita selama ini yang pastinya tidak mampu kita balas. Jasa mereka yang mendidik dan menyayangi serta melindungi kita sejak kecil hingga kini tidak terbalas oleh kita. Sentiasalah mendoakan mereka agar sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah.

"Tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa kedua-dua ibu bapaku serta rahmatilah (peliharalah) keduanya sepertimana mereka memeliharaku sewaktu kecilku"



Senyuman ibunda gelak tawa ayahnda
Senda gurau pengubah duka
Kasih yang di curah ikatan terbina
Wujudlah keluarga bahagia
O bahagia

Luasnya kasihmu kepada diriku
Umpama lautan membiru
Kupohon padamu
Wahai Tuhan yang satu
Balas segala bakti mereka
Ayah bundaku

Oh jasamu (ibuku)
Baktimu (ayahku)
Berkorban menjalin kejayaan

Berjanji (padamu)
Oh ayah (dan ibu)
..... segala hasratmu

Senyuman ibunda gelak tawa ayahnda
Senda gurau pengubah duka
Kasih yang di curah ikatan terbina
Wujudlah keluarga bahagia
O bahagia

marilah semua
mengingati jasanya
mendidik dan mengasuh kita
silapnya dilupan
doakan sejahtera
biar hidup aman dan bahagia

sejernih embun pagi setulus kasih murni
tiada balasan yang di tentang
keridhoan Alloh keredhoaan kita
Kasih mereka bawa ke surga

Senyuman ibunda gelak tawa ayahnda
Senda gurau pengubah duka
Kasih yang di curah ikatan terbina
Wujudlah keluarga bahagia
bahagia

Kupohon padamu wahai Tuhan yang satu
Balas segala bakti mereka
Ayah bundaku

Keluarga Bahagia 2
Album : Ya Rasulullah
Munsyid : Saujana
http://liriknasyid.com

REMAJA

Ikuti temubual bersama Zamri Mohamad, penulis buku motivasi mengupas permasalahan remaja dan jalan penyelesaiannya dalam rancangan U-Wartawan, Astro Awani.


Remaja
Ingatlah masa depan mu
Janganlah kau terleka
Di usia remaja

Kenanglah
Jasa ibu dan ayah mu
Susah payah mereka
Membesarkan kita

C/O :
Gunakanlah masa yang ada
Dengan sebaiknya
Kuatkanlah tekad di hati
Memajukan diri
Tiada kejayaan yang datang
Tanpa usaha yang gigih
Bersusah-susahlah dahulu
Bersenang kemudian
Jadilah warga yang berguna
Pada keluarga, masyarakat jua negara

Waspada
Jangan mudah terpedaya
Oleh hasutan dunia
Yang bisa merosakkan hidupmu

(Ingatlah remaja semua)

Remaja
Album : See You D IPT
Munsyid : Unic
http://liriknasyid.com

KAJIAN KES JUVANA REMAJA

Kajian setahun pada 2006 - 2007 dilakukan oleh Pensyarah Fakulti Pendidikan UM Profesor Madya Dr Tie Fatt Hee, membabitkan 740 responden di kira-kira 12 sekolah di Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

"Kajian awal ini cuma membabitkan pelajar berusia 16 tahun yang disifatkan tahap usia penting sebelum memasuki Tingkatan Lima dan seterusnya menyertai masyarakat. Apa yang boleh dirumuskan, jenayah di sekolah tetap berlaku sama ada di kawasan bandar mahu pun luar bandar".

Dr Tie menyatakan bahawa perkembangan ini amat membimbangkan biarpun hakikatnya jenayah di sekolah ini masih dianggap terkawal jika dibandingkan dengan bilangan murid di seluruh negara.

Lebih membimbangkan, katanya, 46 peratus responden itu mengakui pembelajaran mereka terganggu akibat ancaman jenayah di sekolah yang sekali gus boleh menjejaskan pencapaian akademik mereka.

"Kita perlu ingat, masalah disiplin di sekolah ini bukanlah sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba sebaliknya ia membabitkan proses yang berpanjangan. Seperti juga penyakit, ia mempunyai simptom atau petanda awal tertentu yang perlu ditangani seberapa segera.

"Jika ia dibiarkan melarat, tanpa sebarang tindakan oleh pihak sekolah, jenayah ini boleh melarat melangkaui kawasan sekolah."

Dr Tie yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan dan undang-undang, berkata apa yang menyedihkan, majoriti pelajar yang ditemui menerusi kajian itu, mengakui menjadikan kawan atau rakan sebagai rujukan utama dalam sistem sokongan mereka.

"Di mana peranan ibu bapa dan guru-guru yang sepatutnya di hierarki atas sistem sokongan itu dan menjadi tempat utama pelajar mengadu masalah mereka? Ini jelas menjadi satu kepincangan kerana kita perlu sedari, ada bahayanya apabila pelajar menjadikan rakan sebagai pakar rujuk mereka, terutama jika rakan itu juga bermasalah."

Sehubungan itu, beliau menegaskan, sudah tiba masanya semua pihak - ibu bapa, sekolah dan masyarakat menggembleng tenaga bagi mengatasi masalah jenayah di kalangan pelajar ini.

"Guru yang menyedari pelajar bermasalah perlu segera memaklumkan kepada pihak sekolah bagi tindakan susulan termasuk memanggil ibu bapa dan pihak polis. Ibu bapa pula harus bersikap prihatin apabila dipanggil dan bukannya menuding jari ke arah pihak sekolah.

"Selain itu, kita juga harus menerapkan kepentingan kaedah pendidikan berkaitan undang-undang yang mana pelajar didedahkan dengan jenayah dan jenis hukuman serta hak mereka," katanya.


INFO: MASALAH JUVANA

  • 5.4 juta pelajar di seluruh negara
  • Indeks pembabitan pelajar dalam jenayah 0.03 peratus berbanding jumlah keseluruhan
  • Usia pelajar bermasalah 13 - 18 tahun
  • Statistik polis: 2007 - 1,837 kes jenayah dan 3,383 pelajar ditahan; 2008 - Meningkat kepada 2,218 kes dan 3,725 pelajar ditahan.
  • Kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia dengan kerjasama Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Malaysia, 48.1 peratus mat rempit berpunca akibat kebosanan, 38 peratus bertujuan mengisi masa lapang dan 27.8 peratus dipengaruhi kawan.
  • Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia - Seramai 295 pelajar terbabit dalam pelbagai jenayah sepanjang tempoh dua bulan pertama tahun ini.
  • Kajian Universiti Malaya - masalah disiplin utama di sekolah adalah kecurian, buli, pergaduhan dan gangsterisme.
Sumber:
Nurul Adlina Kamaludin dan Hafizah Iszahanid. Aib Juvana Remaja. http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Bmdua/20090412074035/Article/


REMAJA OH REMAJA

The challenges of the coming century are too complex and too international
in scope to be solved by an individual or nation cut off from others worldwide.
The signs are compelling that our society is struggling with some significant
problems and we need to rethink our usual approach to managing these major
challenges. In order to equip our youth in confronting the challenges of the
twenty first century, this article suggests a significant approach from the Islamic perspective
(Hamidah Sulaiman, 2005).

Para pelajar yang berada di bangku sekolah sekarang ini adalah generasi yang akan membentuk
negara pada masa depan mengikut acuan yang kita inginkan. Perkara ini begitu penting kerana generasi baru inilah yang akan menjadi tenaga bagi merealisasikan kewujudan sebuah negara dan bangsa yang berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain tanpa mengorbankan iman atau identiti serta jati diri yang sedia ada. Remaja hari ini adalah pemimpin hari esok.

Bagaimana pun, sejak akhir-akhir ini, negara berdepan dengan pelbagai masalah seperti gejala keruntuhan akhlak, penggunaan dadah yang berleluasa, dan pembabitan jenayah oleh golongan remaja (Mastika, Mei, 2005). Pendekatan yang efektif perlu dicari untuk mendekati remaja bermasalah berkenaan. Antaranya, meninjau beberapa aspek kehidupan mereka yang dijangka mempunyai hubung kait dengan salah laku tersebut. Persoalan remaja bermasalah ini tidak boleh dipandang ringan kerana masalah tersebut telah merebak dengan begitu cepat.



Berdasarkan fakta sejarah, dengan menggunakan candu, negara besar seperti China pun dapat dikalahkan oleh penjajah British, apa lagi negara kita yang kecil ini; dan apa pula nasib negara kita di tangan generasi muda hari ini? Jika perkara ini benar-benar berlaku, senario ini menjelaskan kepada kita betapa rapuhnya jiwa remaja yang kita harapkan suatu masa nanti akan mengambil alih tanggungjawab memimpin negara yang kita cintai ini. Bagaimana mungkin mereka boleh memperuntukkan rnasa dan tenaga untuk melakukan sesuatu demi agama, masyarakat dan negara, sedangkan mereka mengharapkan bantuan orang lain untuk mengatasi masalah diri mereka? Hamidah Sulaiman (2005) dalam artikelnya telah membincangkan cabaran-cabaran abad ke-21 yang menghalang pembentukan remaja berkualiti dan langkah positif yang perlu diambil oleh semua pihak supaya negara kita yang bertaraf negara maju pada masa depan menggambarkan kemajuan yang menyeluruh.


CABARAN-CABARAN ABAD KE-21 YANG MENGHALANG PEMBENTUKAN REMAJA BERKUALITI

Pelbagai cabaran telah melanda masyarakat negara kita khususnya golongan remaja. Antara cabaran-cabaran tersebut termasuklah pengaruh budaya barat yang bertentangan dengan budaya timur yang menyebabkan keruntuhan akhlak yang serius (Mohd Nakhaie Hj. Ahmad, 2001). Menurut Mohd Nakhaie Hj. Ahmad (2001) berikut adalah antara faktor persekitaran dan kemajuan yang boleh merosakkan akhlak manusia pada abad ini:

  1. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan
  2. Persembahan konsert rock yang bertentangan dengan budaya kita
  3. Mudah mendapat dan menonton gambar lucah dan mengasyikkan di dalam persekitaran tempat tinggal remaja, seperti Internet dan lain-lain
  4. Ada kemudahan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab seperti pengguguran haram
  5. Disiplin sekolah yang longgar seperti guru yang tidak mengambil tahu masalah yang dihadapi pelajar, ibu bapa yang tidak memberi kerjasama kepada pihak sekolah, dan persekitaran sekolah yang terdedah kepada gejala yang kurang sihat
  6. Faktor persekitaran yang mendedahkan remaja dengan pusat-pusat hiburan yang menyediakan pelbagai produk yang boleh menggalakkkan dan meningkatkan rangsangan seksual
  7. Pembawaan keluarga remaja itu sendiri seperti kehidupan ibu bapa yang bergelumang dengan maksiat, rumah tangga yang tidak kukuh atau berlaku penceraian, syiar Islam yang tidak kukuh di dalam keluarga, status ekonomi ibu bapa yang rendah dan daif di mana anak membesar di dalam suasana yang terbiar; terdapat juga ibu bapa yang mementingkan kerjaya atau pekerjaan daripada menjaga kebajikan keluarga
  8. Faktor peribadi yang kotor, merujuk kepada seseorang yang sudah rosak akhlaknya, atau mempunyai sifat-sifat keji, pemarah, tamak, dengki, panas baran, tidak amanah dan sebagainya
  9. Kesilapan membimbing, terlampau memanjakan anak-anak, ibu bapa yang takut dengan anak-anak dan terlampau memberi kemewahan.

Imam Al-Ghazali menggelar sebahagian daripada faktor-faktor yang disebutkan di atas sebagai penyakit hati. Ubat dan penawar yang paling mujarab bagi merawat segala penyakit hati, tidak lain dan tidak bukan adalah Al-Quran. Apatah lagi, Al-Quran dan Sunnah Rasul itu pula sudah pasti tidak akan menjadikan seorang muslim itu menjadi sesat. Ini sekaligus memberi pengertian bahawa setiap orang Islam itu wajib meletakkan ajaran-ajaran agama itu di tempatnya yang sebenar iaitu menjadi teras dan tunggak seluruh aspek kehidupan.



RAWATAN UNTUK MENGATASI MASALAH

Menurut Mohammad Zaini Yahya (2000) berikut adalah antara rawatan yang telah disyorkan oleh para cendikawan Islam untuk mengatasi apa juga masalah yang dihadapi oleh seseorang individu:

  1. Membetulkan akidah dan kepercayaan kepada Allah;
  2. Pendidikan akhlak;
  3. Mengekalkan ibadah sembahyang;
  4. Ibadah malam (seperti sembahyang sunat Tahajud);
  5. Mendisiplinkan anak-anak dengan kasih sayang;
  6. Memenuhi masa lapang dengan anak-anak;
  7. Peka terhadap jenis pemakanan dan perkembangan anak-anak; dan
  8. Memohon pertolongan Allah.

KEPERLUAN MANUSIA KEPADA KESIHATAN JIWA DAN KEKUATAN ROHANI

Apabila seseorang individu menghadapi masalah hidup, tekanan kerja, kerunsingan, kegagalan mencapai apa yang dicita-citakan, kesusahan, kesempitan hidup, kehilangan harta/orang yang dikasihi dan bencana maka ia memerlukan pertolongan dan pergantungan kepada sesuatu yang sangat kukuh. Di sinilah kepercayaan agarna (kekuatan iman dan kekuatan dalaman - rohani) dapat membantu manusia dengan memberi kekuatan ketika mereka lemah, memberi harapan baru ketika mereka kecewa, menaikkan semangat keberanian pada waktu ketakutan dan mengukuhkan kesabaran ketika berhadapan dengan kesukaran dan putus asa.

Sebaliknya, orang yang hidup tanpa kepercayaan agama akan sentiasa merasa bimbang, takut, hilang arah tujuan, keluh-kesah, dan seluruh hidup mereka kucar-kacir. Ini terjadi kerana individu-individu tersebut sering membalikkan setiap perkara (yang baik ataupun yang buruk)kepada dirinya sendiri. Akibatnya, individu-individu seperti ini merasa tiada lagi jalan penyelesaian bagi masalah-masalah serius yang sedang di hadapi.

Bagi mereka yang memiliki iman yang kental, apabila menghadapi masalah-masalah yang serius, akan melakukan solat hajat dan berdoa memohon pertolongan dan perlindungan dari Allah. Malah, segala kesukaran di sepanjang perjalanan hidupnya dirasakan mudah kerana ia percaya kepada keadilan dan rahmat Allah. Sebenarnya, kesihatan jiwa dan kekuatan dalaman seseorang individu muslim itu menjadikan individu tersebut benar-benar yakin bahawa Allah pasti akan memberi balasan baik terhadap apa sahaja perbuatan baik yang dilakukannya. Oleh kerana itu, orang yang kuat imannya hanya meminta pertolongan dan perlindungan dari Allah. Kesannya, individu tersebut menjadi seorang yang sentiasa tenang, ceria, optimis dan merasa ruang lingkup hidupnya menjadi luas kerana ia sentiasa baik sangka terhadap Allah.


RUMUSAN

Usaha yang bersungguh-sungguh untuk memperkasakan modal insan dari golongan remaja perlu dijana melalui sistem pendidikan yang terancang dan sistematik kerana negara memerlukan rakyat yang berilmu, berakhlak mulia serta etika kerja yang cemerlang.

Mendidik dan membimbing remaja supaya mereka mempunyai sahsiah yang mulia bukanlah suatu kerja yang mudah. Ibu bapa dan para guru dan sesiapa sahaja yang terlibat dengan pengajaran dan pembelajaran remaja, selain jangan sesekali berputus asa, mereka adalah disarankan supaya melaksanakan tugas tersebut berterusan sehingga mendatangkan hasil. Oleh kerana itu, memberi pendidikan agama dan akhlak kepada anak-anak sejak dari kecil lagi merupakan suatu tugas dan tanggungjawab yang penting untuk dilaksanakan. Apatah lagi, tugas dan tanggungjawab tersebut adalah penerusan amalan para rasul, para nabi dan para wali Allah. Tiada siapa pun yang dapat menyangkal lagi bahawa personaliti terpuji merupakan asas utama kepada mana-mana individu untuk tampil menjadi warganegara yang cintakan agama, bangsa dan negara.




RUJUKAN

Hamidah Sulaiman (2005). Pendidikan Islam dan Pengaruh Persekitaran dan Kemajuan: Kesan Kepada Pembentukan Sahsiah. Masalah Pendidikan 2005. Universiti Malaya. 71-77.

Mastika (2005). Ya Rasullah, Mengapa umatmu kini biadab terhadap masjid? Kuala Lumpur: Utusan Karya

Mohammad Zaini Yahya (2000). Pengantar pengetahuan Islam. Bangi, Selangor: AsSyabab Media.

Mohd. Nakhaie Hj Ahmad (2001). Anjakan sikap dan budaya hidup bangsa, Kuala Lumpur: YADIM

Wednesday, June 10, 2009

T-SHIRT MUSLIMAH


Kedai Hasanah bagi pihak PERWANIN menjual/mengedar/menerima tempahan kemeja T SUMAYYA di sekitar daerah Johor Bahru.

Jualan ini adalah bagi mengumpul dana PERWANIN.

Jualan dengan HARGA TERENDAH!

Saiz S, M, L, XL = RM 40.00

2XL, 3XL = RM 42.00




Untuk membuat tempahan, sila sertakan maklumat seperti berikut:

1) NAMA:
2) EMAIL:
3) NO. TELEFON:
4) NAMA, BILANGAN DAN SAIZ T-SHIRT YANG INGIN DITEMPAH:


*Bagi ahli PERWANIN diskaun istimewa RM1.00 untuk setiap helai t-shirt.

Tempahan & pertanyaan boleh hubungi Kedai Hasanah & PERWANIN

YM: m_solehah
Email: m_solehah@yahoo.com, perwanin@gmail.com

Tuesday, June 09, 2009

SEMINAR MENANGANI KEGANASAN TERHADAP WANITA

Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Negeri Johor telah menganjurkan Seminar Menangani Keganasan Terhadap Wanita. Maklumat mengenai program adalah seperti berikut:

Tarikh: 11 Jun 2009 (Khamis)
Masa: 8.00 a.m. - 1.15 p.m.
Tempat : Kompleks Islam Johor Bahru
Penceramah: Ustazah Nor Bahiyah

Monday, June 01, 2009

JEJARI BESTARI NEGERI JOHOR 2

PERWANIN dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Johor dan Komuniti Bestari Mukim Tanjung Kupang telah mengadakan program Jejari Bestari Negeri Johor Kali Kedua di Dewan Raya Kampung Pok, Gelang Patah pada 2 Jun 2009 (Selasa). 48 orang wanita yang berumur 15 hingga 35 tahun khususnya yang menetap di Mukim Tanjung Kupang telah mengambil bahagian dalam Bengkel Manik Aksesori kali ini. Para peserta dibekalkan dengan peralatan secara percuma dan mendapat sijil penyertaan dari pihak Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Johor.

Para peserta berpeluang mempelajari teknik-teknik membuat Manik Aksesori dengan bantuan tenaga pengajar yang berpengalaman iaitu En. Shahril dan Cik Noraini. Para peserta berjaya menghasilkan sepasang anting-anting, dua utas gelang tangan dan seutas aksesori telefon bimbit yang menarik.

PERWANIN merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program Jejari Bestari Negeri Johor Kali Kedua ini.