BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, June 13, 2009

REMAJA OH REMAJA

The challenges of the coming century are too complex and too international
in scope to be solved by an individual or nation cut off from others worldwide.
The signs are compelling that our society is struggling with some significant
problems and we need to rethink our usual approach to managing these major
challenges. In order to equip our youth in confronting the challenges of the
twenty first century, this article suggests a significant approach from the Islamic perspective
(Hamidah Sulaiman, 2005).

Para pelajar yang berada di bangku sekolah sekarang ini adalah generasi yang akan membentuk
negara pada masa depan mengikut acuan yang kita inginkan. Perkara ini begitu penting kerana generasi baru inilah yang akan menjadi tenaga bagi merealisasikan kewujudan sebuah negara dan bangsa yang berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain tanpa mengorbankan iman atau identiti serta jati diri yang sedia ada. Remaja hari ini adalah pemimpin hari esok.

Bagaimana pun, sejak akhir-akhir ini, negara berdepan dengan pelbagai masalah seperti gejala keruntuhan akhlak, penggunaan dadah yang berleluasa, dan pembabitan jenayah oleh golongan remaja (Mastika, Mei, 2005). Pendekatan yang efektif perlu dicari untuk mendekati remaja bermasalah berkenaan. Antaranya, meninjau beberapa aspek kehidupan mereka yang dijangka mempunyai hubung kait dengan salah laku tersebut. Persoalan remaja bermasalah ini tidak boleh dipandang ringan kerana masalah tersebut telah merebak dengan begitu cepat.



Berdasarkan fakta sejarah, dengan menggunakan candu, negara besar seperti China pun dapat dikalahkan oleh penjajah British, apa lagi negara kita yang kecil ini; dan apa pula nasib negara kita di tangan generasi muda hari ini? Jika perkara ini benar-benar berlaku, senario ini menjelaskan kepada kita betapa rapuhnya jiwa remaja yang kita harapkan suatu masa nanti akan mengambil alih tanggungjawab memimpin negara yang kita cintai ini. Bagaimana mungkin mereka boleh memperuntukkan rnasa dan tenaga untuk melakukan sesuatu demi agama, masyarakat dan negara, sedangkan mereka mengharapkan bantuan orang lain untuk mengatasi masalah diri mereka? Hamidah Sulaiman (2005) dalam artikelnya telah membincangkan cabaran-cabaran abad ke-21 yang menghalang pembentukan remaja berkualiti dan langkah positif yang perlu diambil oleh semua pihak supaya negara kita yang bertaraf negara maju pada masa depan menggambarkan kemajuan yang menyeluruh.


CABARAN-CABARAN ABAD KE-21 YANG MENGHALANG PEMBENTUKAN REMAJA BERKUALITI

Pelbagai cabaran telah melanda masyarakat negara kita khususnya golongan remaja. Antara cabaran-cabaran tersebut termasuklah pengaruh budaya barat yang bertentangan dengan budaya timur yang menyebabkan keruntuhan akhlak yang serius (Mohd Nakhaie Hj. Ahmad, 2001). Menurut Mohd Nakhaie Hj. Ahmad (2001) berikut adalah antara faktor persekitaran dan kemajuan yang boleh merosakkan akhlak manusia pada abad ini:

  1. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan
  2. Persembahan konsert rock yang bertentangan dengan budaya kita
  3. Mudah mendapat dan menonton gambar lucah dan mengasyikkan di dalam persekitaran tempat tinggal remaja, seperti Internet dan lain-lain
  4. Ada kemudahan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab seperti pengguguran haram
  5. Disiplin sekolah yang longgar seperti guru yang tidak mengambil tahu masalah yang dihadapi pelajar, ibu bapa yang tidak memberi kerjasama kepada pihak sekolah, dan persekitaran sekolah yang terdedah kepada gejala yang kurang sihat
  6. Faktor persekitaran yang mendedahkan remaja dengan pusat-pusat hiburan yang menyediakan pelbagai produk yang boleh menggalakkkan dan meningkatkan rangsangan seksual
  7. Pembawaan keluarga remaja itu sendiri seperti kehidupan ibu bapa yang bergelumang dengan maksiat, rumah tangga yang tidak kukuh atau berlaku penceraian, syiar Islam yang tidak kukuh di dalam keluarga, status ekonomi ibu bapa yang rendah dan daif di mana anak membesar di dalam suasana yang terbiar; terdapat juga ibu bapa yang mementingkan kerjaya atau pekerjaan daripada menjaga kebajikan keluarga
  8. Faktor peribadi yang kotor, merujuk kepada seseorang yang sudah rosak akhlaknya, atau mempunyai sifat-sifat keji, pemarah, tamak, dengki, panas baran, tidak amanah dan sebagainya
  9. Kesilapan membimbing, terlampau memanjakan anak-anak, ibu bapa yang takut dengan anak-anak dan terlampau memberi kemewahan.

Imam Al-Ghazali menggelar sebahagian daripada faktor-faktor yang disebutkan di atas sebagai penyakit hati. Ubat dan penawar yang paling mujarab bagi merawat segala penyakit hati, tidak lain dan tidak bukan adalah Al-Quran. Apatah lagi, Al-Quran dan Sunnah Rasul itu pula sudah pasti tidak akan menjadikan seorang muslim itu menjadi sesat. Ini sekaligus memberi pengertian bahawa setiap orang Islam itu wajib meletakkan ajaran-ajaran agama itu di tempatnya yang sebenar iaitu menjadi teras dan tunggak seluruh aspek kehidupan.



RAWATAN UNTUK MENGATASI MASALAH

Menurut Mohammad Zaini Yahya (2000) berikut adalah antara rawatan yang telah disyorkan oleh para cendikawan Islam untuk mengatasi apa juga masalah yang dihadapi oleh seseorang individu:

  1. Membetulkan akidah dan kepercayaan kepada Allah;
  2. Pendidikan akhlak;
  3. Mengekalkan ibadah sembahyang;
  4. Ibadah malam (seperti sembahyang sunat Tahajud);
  5. Mendisiplinkan anak-anak dengan kasih sayang;
  6. Memenuhi masa lapang dengan anak-anak;
  7. Peka terhadap jenis pemakanan dan perkembangan anak-anak; dan
  8. Memohon pertolongan Allah.

KEPERLUAN MANUSIA KEPADA KESIHATAN JIWA DAN KEKUATAN ROHANI

Apabila seseorang individu menghadapi masalah hidup, tekanan kerja, kerunsingan, kegagalan mencapai apa yang dicita-citakan, kesusahan, kesempitan hidup, kehilangan harta/orang yang dikasihi dan bencana maka ia memerlukan pertolongan dan pergantungan kepada sesuatu yang sangat kukuh. Di sinilah kepercayaan agarna (kekuatan iman dan kekuatan dalaman - rohani) dapat membantu manusia dengan memberi kekuatan ketika mereka lemah, memberi harapan baru ketika mereka kecewa, menaikkan semangat keberanian pada waktu ketakutan dan mengukuhkan kesabaran ketika berhadapan dengan kesukaran dan putus asa.

Sebaliknya, orang yang hidup tanpa kepercayaan agama akan sentiasa merasa bimbang, takut, hilang arah tujuan, keluh-kesah, dan seluruh hidup mereka kucar-kacir. Ini terjadi kerana individu-individu tersebut sering membalikkan setiap perkara (yang baik ataupun yang buruk)kepada dirinya sendiri. Akibatnya, individu-individu seperti ini merasa tiada lagi jalan penyelesaian bagi masalah-masalah serius yang sedang di hadapi.

Bagi mereka yang memiliki iman yang kental, apabila menghadapi masalah-masalah yang serius, akan melakukan solat hajat dan berdoa memohon pertolongan dan perlindungan dari Allah. Malah, segala kesukaran di sepanjang perjalanan hidupnya dirasakan mudah kerana ia percaya kepada keadilan dan rahmat Allah. Sebenarnya, kesihatan jiwa dan kekuatan dalaman seseorang individu muslim itu menjadikan individu tersebut benar-benar yakin bahawa Allah pasti akan memberi balasan baik terhadap apa sahaja perbuatan baik yang dilakukannya. Oleh kerana itu, orang yang kuat imannya hanya meminta pertolongan dan perlindungan dari Allah. Kesannya, individu tersebut menjadi seorang yang sentiasa tenang, ceria, optimis dan merasa ruang lingkup hidupnya menjadi luas kerana ia sentiasa baik sangka terhadap Allah.


RUMUSAN

Usaha yang bersungguh-sungguh untuk memperkasakan modal insan dari golongan remaja perlu dijana melalui sistem pendidikan yang terancang dan sistematik kerana negara memerlukan rakyat yang berilmu, berakhlak mulia serta etika kerja yang cemerlang.

Mendidik dan membimbing remaja supaya mereka mempunyai sahsiah yang mulia bukanlah suatu kerja yang mudah. Ibu bapa dan para guru dan sesiapa sahaja yang terlibat dengan pengajaran dan pembelajaran remaja, selain jangan sesekali berputus asa, mereka adalah disarankan supaya melaksanakan tugas tersebut berterusan sehingga mendatangkan hasil. Oleh kerana itu, memberi pendidikan agama dan akhlak kepada anak-anak sejak dari kecil lagi merupakan suatu tugas dan tanggungjawab yang penting untuk dilaksanakan. Apatah lagi, tugas dan tanggungjawab tersebut adalah penerusan amalan para rasul, para nabi dan para wali Allah. Tiada siapa pun yang dapat menyangkal lagi bahawa personaliti terpuji merupakan asas utama kepada mana-mana individu untuk tampil menjadi warganegara yang cintakan agama, bangsa dan negara.




RUJUKAN

Hamidah Sulaiman (2005). Pendidikan Islam dan Pengaruh Persekitaran dan Kemajuan: Kesan Kepada Pembentukan Sahsiah. Masalah Pendidikan 2005. Universiti Malaya. 71-77.

Mastika (2005). Ya Rasullah, Mengapa umatmu kini biadab terhadap masjid? Kuala Lumpur: Utusan Karya

Mohammad Zaini Yahya (2000). Pengantar pengetahuan Islam. Bangi, Selangor: AsSyabab Media.

Mohd. Nakhaie Hj Ahmad (2001). Anjakan sikap dan budaya hidup bangsa, Kuala Lumpur: YADIM

0 comments: