BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, July 20, 2009

FALSAFAH ISRAK MIKRAJ

Israk adalah peristiwa perjalanan Nabi s.a.w bermula dari masjid al-haram dikota Mekah menuju ke Baitil Maqdis. Manakala mikraj pula adalah peristiwa naiknya Nabi s.a.w dari bumi menuju ke langit sehingga sampai kesidhratul muntaha untuk bertemu dengan Allah Taala. Semua peristiwa itu hanya berlaku dalam tempoh satu malam sahaja. Beriman dengan kebenaran peristiwa israk mikraj adalah satu kewajipan kepada seluruh umat Islam.

Firman Allah S.W.T:

Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari al Masjidil Haram ke al Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat (al-Isra':1).

Firman Allah S.W.T:

Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibrail itu (dalam rupanya yang asli) pada waktu yang lain, (iaitu) di Sidratul Muntaha. Didekatnya ada syurga tempat tinggal, (Muhammad melihat Jibrail) ketika Sidratul Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling dari yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar (An-Najm: 13-18).

Terdapat dua perkara utama yang menjadi sebab mengapa Nabi s.a.w diisrak mikrajkan oleh Allah Taala.

1- Untuk menghiburkan baginda s.a.w serta meniupkan kembali semangat baginda dalam meneruskan usaha dakwah Islamiyah sekalipun pelindung dan penyokong baginda telah terhalang dan musnah yang menyebabkan jalan untuk meneruskan usaha dakwah tersekat, dengan ditunjukkan kepada baginda perancangan Allah Taala berkaitan dengan kejayaan yang baginda akan capai. Manusia tetap manusia, sebagai sifatnya manusia, perasaan sedih dan duka cita di atas layanan buruk yang diberikan oleh kaumnya kepada baginda tidak dapat dielakkan dari berlaku kepada baginda. Kesedihan baginda disebab usaha dakwah tersekat menguasai pemikiran baginda. Jadi sebagai untuk meringankan bebanan kesedihan dan untuk menghiburkan hati baginda, Allah Taala memperjalankan baginda dan memperlihatkan kepada baginda perancangan-perancanganNya terhadap gerakan dakwah yang dilakukan oleh baginda, supaya baginda akan rasa tenang dan terhibur. Ini dapat kita saksikan melalui beberapa isyarat perancangan-perancangan Allah Taala yang ditunjukkan sepanjang perjalanan Israk.

Isyarat pertama, ketika baginda dan malaikat Jibril sampai di satu kawasan yang subur penuh dengan pohonan, Jibril minta kepada Nabi s.a.w supaya bersolat dua rakaat di situ. Setelah selesai bersolat Nabi bertanya; tempat apakah itu. Jibril berkata itulah Yathrib, tempat yang kamu akan berhjrah ke situ dan membina daulah Islam dan kekuatan dan peradaban Islam bermula disitu.

Isyarat kedua, apabila sampai ke masjid Baitil maqdis, baginda telah bertemu dengan semua nabi dan rasul dan mereka bersolat di situ secara berjamaah dan Nabi s.a.w telah menjadi imam kepada mereka semua. Ini merupakan isyarat bahawa kekuasaan pimpinan khalifah akan berpindah dari tangan Bani Israil kepada umat Islam. Umat Islam akan memimpin dunia dan peradaban dunia. Ini telah terbukti sepanjang 14 kurun umat Islam telah memimpin peradaban dunia.

Isyarat ketiga, Nabi s.a.w telah diberi peluang bertemu dan melihat Allah Taala. Dan inilah kegembiraan yang sebenar. Tidak ada kegembiraan yang lain selain itu. Firman Allah Taala; " Pada hari itu muka-muka mereka yang beriman akan berseri-seri, kerana mereka dapat melihat wajah Allah Taala." (al-Qiyamah : 22) Kegembiraan mendapat nikmat dunia dan seisinya tidak mampu untuk menandingi kegembiraan dapat bertemu dengan Allah Taala. Inilah idaman para kekasih Allah Taala

2- Memanusiakan manusia.
Inilah juga sebenarnya matlamat diutuskan nabi-nabi dan diturunkan al-Quran. Banyak nas al-Quran yng menjelaskan perkara tersebut antaranya;
Firman Allah Taala; "kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya yakni bacaannya di dalam bahasa arab untuk golongan yang mengetahui yang membawa berita gembira dan yang membawa peringatan tetapi kebanyakan mereka berpaling, maka mereka tidak mahu mendengar". (al- Fussilat :3-4)

Dalam peristiwa israk mikraj Allah Taala telah memperlihatkan beberapa isyarat yang menunjukkan kemulian manusia berbanding makhluk yang yang lain, hatta malaikat sekalipun. Sebenarnya isyarat tersebut adalah satu arahan supaya manusia terus kekal dengan fitrahnya sebagai manusia. Manusia tidak perlu jadi malaikat untuk mendekatkan diri dengan Allah Taala. Bahkan dengan sifatnya sebagai manusia baginda boleh lebih hampir dengan Allah Taala berbanding dengan kedudukan malaikat Jibril ini kerana sebenarnya dalam diri manusia ada ruh Allah Taala. Perkara ini dijelaskan oleh Allah Taala; " dan apabila aku telah sempurna menciptakannya (manusia) dan ku tiupkan kedalam jasad mereka ruhKu, maka tunduk semua malaikat kepadanya" (al-Hijr: 29)
Ini dapat dibukti bahawa dalam peristiwa itu Nabi bertemu Allah taala dan menerima solat di atas batasan sidratul muntaha, batasan yang mana malaikat Jibrail pun tidak boleh melampuinya. Ini menunjukkan kedudukan manusia lebih tinggi berbanding makhluk yang lain . Allah Taala menjelaskan lagi mengenai hakikat ini " sesungguhnya kami telah ciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian dan kemudian kami telah hinakan mereka dengan sehina-hinanya kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh bagi mereka balasan yang tidak terputus. (al-Tin : 4-6)

Ketika bertemu dengan Allah Taala Nabi s.a.w telah menerima arahan supaya mendirikan solat. Timbul persoalan mengapa dalam perkara berkaitan ibadah solat Nabi dibawa bertemu dengan Allah Taala untuk menerimanya sendiri, berbanding dengan arahan-arahan syariat yang lain memadai dengan wahyu melalui perantaraan Jibril sahaja. Sebenarnya inilah adalah satu isyarat bahawa kedudukan kemulian manusia itu adalah selama mana mereka berhubung dengan Allah Taala. Apabila hubungan manusia dengan Allah terputus maka akan terhapuslah kemulian tersebut dan manusia tidak lagi jadi manusia. Bahkan kedudukannya lebih hina dari binatang. Ini dapat kita lihat dengan realiti manusia hari ini, cara hidup mereka lebih buruk dan hina dari binatang. Kadang-kadang binatang lebih dimuliakan berbanding manusia. Al-Quran menjelaskan perkara ini; "dan kemudian kami telah hinakan mereka dengan sehina-hinanya kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh bagi mereka balasan yang tidak terputus. (al-Tin : 5-6),
Oleh itu, Allah Taala dengan sifat Rahman dan Rahimnya telah menghadiahkan kepada kita manusia solat sebagai kerapan usaha harian yang mudah dan wajib dilaksanakan oleh manusia untuk dijadikan tali penghubung secara terus antara manusia dan Allah Taala sebagai proses untuk memanusiakan manusia. Dan ia juga merupakan tapak kukuh terlaksananya arahan-arahan syariat yang lain. Atas dasar inilah, arahan hijrah berlaku selepas dari peristiwa israk mikraj. Kerana syariat Islam difardukan itu kepada manusia dan akan dilaksanakan oleh manusia. Jadi sebelum perintah pelaksanaan syariat tersebut dikeluarkan maka perintah supaya dibentuk mereka yang akan melaksanakan syariat tersebut perlu dikeluar dan dilaksanakan dulu.
Al-Quran menjelaskan perkara ini melalui uslub tarbiah yang dilaksanakan oleh Lukman terhadap anaknya; Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah manusia mengerjakan kebaikan dan cegahlah mereka dari melakukan kemungkaran dan bersabarlah atas apa yang berlaku, sesungguhnya itu termasuk dari perkara yang diwajibkan. Dan Nabi s.a.w menjelaskan perkara ini juga dalam bentuk arahan tarbiah; Ajarlah anak kamu bersolat ketika umurnya sampai 7 tahun, dan apabila umur mereka meningkat 10 tahun, pukullah jika mereka enggan mengerjakan solat Sunnah ini adalah berterusan sehingga kewujudan manusia didunia ini diakhiri dan dimusnahkan. Kerana sifat manusia ketika diturunkan wahyu sama sahaja dengan manusia zaman kita.

Persoalannya, mengapa ramai orang yang mendirikan solat tetapi tidak juga berjaya memanusiakan diri mereka sebagai manusia?

Jawapannya cuba kita lihatlah bagaimana proses awal Nabi di israkkan untuk menerima solat tersebut. Diceritakan oleh Anas bin Malik; bahawa sebelum baginda s.a.w diisrakkan, datang kepada malaikat Jibril lalu dibelah dada baginda kemudian dibersihkannya dengan air zam zam dan kemudian diisi didalamnya dengan iman dan hikmah.

Dr Abdul Halim Mahmud menjelaskan didalam kitabnya dalail al-nubuwat mukjizatun nabi bahawa apa yang berlaku ini adalah isyarat bahawa susunan langkah kehidupan manusia perlu sentiasa diiringi dengan muhasabah dalam usaha untuk sentiasa membersihkan dirinya dari kekotoran jiwa yang disedari atau tidak disedari.

Jadi kita lihat apa yang berlaku pada hari ini walaupun ramai yang mendirikan solat tetapi belum berjaya memanusiakan diri mereka adalah berpunca dari pelaksanaan solat itu adalah semata-mata ikutan sahaja dan kealpaan mereka menilai dan bermuhasabah diri mereka sebelum mereka mendirikan solat. Oleh kerana syariat Islam memerintahkan supaya mendirkan solat maka kita laksanakanlah tanpa mengambil berat, apa yang perlu dilakukan sebelum mendirikan solat. Bagaimana cara yang sepatutnya dilaksanakan. Diawal waktukan atau menunggu saat-saat akhir waktu?

Sedangkan jika kita meneliti proses awal Nabi s.a.w diisrakkan untuk menerima solat adalah dilakukan pembersihan terhadap jiwanya. Adakah kita melakukan muhasabah pembersihan jiwa sebelum kita mendirikan solat?
Begitu juga jika kita muhasabah firman Allah Taala; Apakah kamu mahu tahu siapa pendusta agama? Iaitu mereka yang mengherdik anak yatim, mereka yang tidak menganjurkan memberi makan kepada orang miskin. Maka celakalah mereka yang orang yang bersolat iaitu orang yang lalai dari mengerjakan solat. (al-Maun :1-5) .

Dalam ayat ini disebut dengan kalimah "an solatihim" bermakna bukan mereka yang lalai ketika bersolat tetapi lalai dari mengerjakn solat. Mereka ini bukan tidak bersolat langsung tetapi bersolat di akhir waktu dan mendahulukan urusan lain dari ibadah solat, melengah-lengahkan solat tanpa sebarang uzur syarie. Sebab itu solat mereka tidk berjaya memanusiakan diri mereka.

Terdapat beberapa isyarat yang lain dari peristiwa israk mikraj ini yang menunjukkan kepada kita beberapa syarat kemulian manusia antaranya ;

Pertama, ketika baginda diberi pilihan untuk dua jenis minuman antara susu dan arak. Baginda s.a.w telah memilih susu. Jibril menjelaskan kepada Nabi s.a.w bahawa baginda telah memilih fitrah. Ini adalah isyarat bahawa manusia selama mana ia kekal di atas fitrah kemanusiaannya maka ia layak untuk mendapat kemulian sebagai manusia.

Isyarat kedua ialah ditunjukkan kepada Nabi beberapa azab yang dkenakan kepada beberapa golongan manusia antaranya penzina, pengumpat dan berbagai lagi. Ini adalah isyarat bahawa perkara-perkara yang berbentuk kemaksiatan dan kerosakan apabila dilakukan akan merosak fitrah manusia itu sendiri. Maka selayaknyalah dikenakan azab kepada mereka kerana merosakkan fitrah kemanusiaan pada diri mereka.

Kesimpulan dari apa yang kita bincangkan diatas adalah;
1- Kekalkan fitrah kemanusian kita. Jangan sesekali merosakkannya kerana itu akan menghilangkan kemulian manusia sebagai makhluk yang paling mulia.

2- Kesedihan dan kesulitan dalam kehidupan kita sebagai manusia, lebih-lebih lagi pejuang agama Allah adalah perkara biasa yang tidak dapat dielakkan. Hiburkanlah kesedihan itu dengan berhubung dengan Allah Taala.

3- Kegembiraan yang sebenar adalah apabila dapat bertemu dan melihat Allah Taala. Perkara ini akan tercapai apabila kita berjaya memanusiakan diri kita seperti yang ditunjukkan oleh baginda s.a.w.

Rujukan:
www.mymasjid.net.my

0 comments: